DOA UNTUK KEJADIAN KRITIKAL DI BANGSA KITA – KRISMAS

 

KRISMAS.

YESUS ADALAH SEBAB UNTUK MUSIM PERAYAAN INI.

DIA ADALAH CAHAYA DUNIA.

DIA ADALAH IMANUEL, ALLAH BERSERTA KITA.

DIA ADALAH KRISTUS DALAM DIRI KITA, HARAPAN KEMULIAAN.

 

Krismas bukan hanya tentang satu kelahiran tetapi satu kedatangan. Krismas bermakna, melalui rahmat Tuhan dan penjelmaan Kristus, kedamaian dengan Tuhan tersedia… (Tim Keller)

 

Allah Bapa,

Kami bersyukur kerana dalam belas kasihanMu yang besar, Engkau telah mengizinkan Anak Mu menjadi manusia dan melalui Dia menebus dosa kami dan menyelamatkan kami dari kematian kekal. Sesungguhnya kami yang telah hidup dalam kegelapan telah melihat cahaya yang terang. Cahaya Yesus telah terbit pada hari Krismas.

Tuhan Yesus adalah cahaya bagi dunia dan menunjukkan jalan, Harapan dunia yang menyelamat dari kutukan dan kematian kekal.

Tuhan Yesus, kami selalu bersyukur atas anugerah-Mu. Kami memberikan kepada-Mu segala penyembahan dan penghormatan dan kemuliaan. Kami sujud dan memuja-Mu. Kami memberi ruang dalam hati kami untuk Engkau Tuhan Yesus. Kami bersorak Haleluya untuk segala perbuatan-Mu. Kami meninggikan nama-Mu Yesus dan menyatakan Kedaulatan-Mu dalam hidup kami dan negara kami. Haleluya! Sesungguhnya kami bersukacita dengan khabar baik yang menggembirakan semua.  Kemuliaan bagi Allah di tempat yang maha tinggi dan damai sejahtera di bumi bagi semua orang yang berkenan kepada Nya. Amen.

Bangsa yang hidup di dalam kegelapan telah melihat cahaya yang cemerlang! Bagi yang diam dalam negeri kegelapan maut telah terbit cahaya terang!” Matius 4:16

Tetapi malaikat itu berkata, “Jangan takut! Sebab saya datang membawa khabar baik untuk kalian–khabar yang sangat menggembirakan semua orang.

“Terpujilah Allah di langit yang tertinggi! Dan di atas bumi, sejahteralah manusia yang menyenangkan hati Tuhan!” Lukas 2:10; 14

Allah Bapa, dalam keadaan pandemik di mana varian semakin meningkat, dalam keadaan sekatan pergerakan, dalam krisis politik dan ekonomi, Engkaulah yang memberi harapan kepada kami. Sesungguhnya seorang anak telah lahir bagi kita, seorang Putera telah dikurniakan bagi kita, Yesus Juru Selamat dan Raja kami.

Kami menjemput Engkau datang dan bertakhta dalam hati kami, dalam keluarga kami, dalam gereja kami dan dalam negara kami. Datanglah memerintah kami, Tuhan. Kami menjemput kerajaan-Mu datang dan ambil alih pentadbiran negara kami kerana tidak patuh kepada undang-undang telah menjadi penyakit yang berleluasa di negara ini pada masa kini. Tuhan Yesus, Penasihat Bijaksana, Allah Perkasa, Bapa Kekal, Raja Damai, datanglah dalam kepenuhan-Mu dalam musim Krismas ini. Kami benar-benar memerlukan Engkau. Semoga kemuliaan-Mu kelihatan di sekeliling kami. Biar pemerintahan kerajaan-Mu bertambah, dan biarlah kesempurnaan yang Engkau bawa kedalam kehidupan dan negara kami tidak terbatas. Dalam nama Yesus kami berdoa. Amin.

Seorang anak telah lahir bagi kita; kita dianugerahi seorang putra. Ia akan menjadi pemimpin kita. Ia dinamakan: “Penasihat Bijaksana”, “Allah Perkasa”, “Bapa Kekal”, “Raja Damai”. Yesaya 9:6

 

 

Log masuk